بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Ta’ala yang memberikan kita kesempatan bertalaqqi ilmu melalui satu lagi siri pengajian MTDM di bawah pimpinan guru kesayangan ramai, Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid pada 17 Oktober 2014 yang lalu.
Bahagian 1: Tafsir Surah Ali-Imran
Pengajian dimulakan dengan sambungan perbahasan Tafsir Surah Ali Imran, ayat 191-195 .Dalam perbahasannya, Al Habib merumuskan beberapa pengajaran penting, antaranya:
- Fungsi akal yang utama ialah untuk bertafakur dan mengenali kepada Yang Memberi Akal, yakni Allah SWT. Orang-orang yang berakal ialah orang yang menjaga solat dan zikir (zikir lisan dan zikir hati), dan menjaga agar tidak meyalahgunakan akal kepada perkara-perkara yang Allah tidak redhai.
- Baginda Rasulullah ﷺ kalau bangkit di tengah malam akan melihat langit.” Oleh sebab itu, digalakkan seseorang bila bangun malam untuk melihat langit dan membaca ayat 191 ini dengan tujuan tafakur. Bila melihat langit itu tinggi – kita mesti mengingati ketinggian dan keagungan Allah SWT dan sedar yang kita ini rendah dan hina di hadapan Allah SWT.
- Jika mendengar suara salakan anjing pada waktu malam, mohonlah perlindungan Allah SWT dengan membaca “اعوذباللهمنالشيطانالرجيم”.
- Ketika melihat langit, kita berdoa memohon keampunan kerana kelemahan diri dalam mengagungkan Allah SWT dan kekurangan makrifat (mengenal) kepada Allah SWT.
- Ada 5 permintaan orang-orang beriman daripada ayat-ayat yang diperbincangkan iaitu:
- pengampunan dosa,
- penghapusan kesalahan,
- meninggal dengan orang-orang yang baik,
- syurga dan pahala yang telah dijanjikan, dan
- perlindungan daripada kehinaan di hari kiamat.
- Orang yang paling banyak memaafkan orang lain akan paling banyak menerima maaf daripada Allah SWT. Oleh itu, jangan dendam dengan orang , jangan simpan dalam hati, jangan buruk sangka dengan orang lain. Kita dihormati Allah dengan diberi hati yang suci bersih oleh Allah, jangan dikotori hati itu dengan kedengkian, kebencian kepada orang lain. Latih diri untuk bersihkan hati dan elakkan penyakit buruk sangka yang merupakan penyakit yang lebih laju daripada virus di internet.
- Allah SWT mengabulkan dengan segera permintaan orang-orang beriman, tetapi dengan syarat maksiat yang dilakukan perlulah ditinggalkan.
Ketika ingin menjelaskan perbezaan antara pengampunan dosa dan penghapusan kesalahan, Al Habib membawakan kisah yang sangat menarik antara orang yang menzalimi dan orang yang dizalimi. Kisah ini juga menyebabkan Nabi Muhammad ﷺ tersenyum sehingga menjadikan Sayyidina Umar Al Khattab tertanya-tanya. Kalau nak tahu, dipersilakan menonton daripada rakamannya di atas 🙂
Bahagian 2: Kitab Riyadhus Solihin
Seterusnya, pengajian disambung dengan bacaan empat hadis daripada Bab 62 – ‘Mengutamakan Orang Lain – Agar Menjadi Ikutan’, kitab Riyadhus Solihin. Beberapa pengajaran penting untuk kita manfaatkan ialah:
- Digalakkan untuk berkongsi makanan dengan orang lain, dan prihatin kepada orang yang tidak makan. Jangan anggap makanan yang kita ada sedikit, tidak cukup atau tak layak dihidangkan kepada orang lain. Ajaklah dengan hidangan apa saja yang ada, yang penting ada niat melayan kepada org lain.
- Jaga air muka orang yang kita ingin berikan sesuatu pemberian. Perbuatan tidak memberi adalah lebih baik daripada memberi tetapi diikuti dengan kata-kata yang menghina.
- Jika benar ikhlas ingin menasihati seseorang, lakukan secara peribadi dengannya supaya tidak mengaibkan dirinya.
Ada banyak lagi curahan ilmu yang tidak mampu ditampung oleh secebis catitan ini. Oleh itu, untuk manfaat penuh, mohon luangkan masa untuk menonton rakaman-rakaman video di atas dan jangan segan-segan untuk berkongsi dengan yang lain kerana tanggungjawab orang yang mendapat ilmu ialah mengamalkan dan menyampaikan pula kepada yang lain. Jom sama-sama kita usahakan, insha Allah.