بِسْمِاللّهِالرَّحْمَنِالرَّحِيْمِ
Alhamdulillah, satu lagi pengajian Majlis Ta’lim Darul Murtadza diteruskan di bawah kepimpinan guru kesayangan ramai, Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid pada 12.12.2014 yang lalu.
Al Habib memulakan pengajian dengan perbahasan tafsir surah An-Nisa, ayat 15-18. Dalam ulasannya, Al Habib mengingatkan tentang beberapa pengajaran yang utama iaitu:
- Setiap anak Adam mempunyai sebab yang boleh menghantarnya kepada perzinaan, yakni matanya, lisannya, telinganya, tangan dan juga kakinya. Oleh sebab itu, semua pancaindera ini perlu dimanfaatkan kepada ketaatan kepada Allah SWT dan dijauhi daripada melakukan perkara yang dilarang Allah SWT, khususnya daripada perkara-perkara yang boleh membawa kepada perzinaan seperti memandang kepada yang diharamkan Allah SWT, menggunakan lisan untuk memujuk rayu, menipu, bergaul tanpa batasan di alam maya apatah lagi di alam nyata, menulis mesej-mesej, teks, keluar bertemu berdua-berduaan, menyentuh, dsb.
- Iman adalah pemberian Allah SWT yang sangat berharga kepada kita, oleh itu kita perlu menghargai dengan menjaganya dan merasa diri dipantau Allah SWT, dan merasa takut dengan hukuman Allah melebihi kita takut kepada ‘speed trap’ atau ‘CCTV’ buatan manusia!
- Hukum bagi penzina yang belum berkahwin ialah sebat 100 kali dan dipulaukan selama 1 tahun, manakala ada dua pendapat berbeza jika penzina sudah berkahwin. Pendapat pertama menyatakan hukumannya ialah disebat dan direjam, manakala yang kedua menyatakan direjam sahaja.
- Masyarakat tidak dibenarkan menghina, mencaci atau mengungkit kesalahan orang yang pernah melakukan zina tetapi telah bertaubat, kerana orang yang bertaubat seakan-akan dia tidak melakukan maksiat kerana sudah diampunkan Allah SWT.
- ‘At-taswif’, iaitu melengah-lengahkan taubat merupakan salah satu helah syaitan. Syaitan akan membisikkan untuk menunda taubat esok, lusa, bulan depan, tahun depan padahal tidak seorang pun punyai perjanjian dengan malaikat maut, walaupun dari kalangan Rasul atau Anbiya. Maka, bersegeralah untuk bertaubat kepada Allah sebelum datang perkara-perkara yang menghalang – mungkin sakit yang melupakan kita kepada Allah. Wal iya zu billah.
Kemudian, pengajian disambung dengan bacaan hadis 1-4 daripada bab 66: ‘Sunah Berziarah Kubur dan Bacaannya’, kitab Riyadhus Solihin. Antara pengajaran pentingnya ialah:
- Kata Rasulullah ﷺ, “Kubur itu tempat persinggahan pertama sebelum menuju ke akhirat. Barangsiapa yang selamat di kuburnya, maka selepasnya adalah mudah. Barangsiapa yang tak selamat dikuburnya, selepasnya adalah yang makin susah.”
- Nabi ﷺ menyuruh berziarah ke kubur, dan ini bermakna ada anjuran, dan sunnah untuk menziarah kubur. Ini adalah untuk kubur orang yang dekat dengan kita (keluarga dan saudara) ataupun kubur orang-orang yang soleh daripada kalangan para Rasul, anbiya, dan auliya. Adalah perlu dibezakan antara menziarah kubur dengan menyembah kubur kerana perbuatan menyembah kubur memang salah, tetapi untuk menghukum setiap orang yang ziarah kubur itu sembah kubur – ini juga adalah persepsi yang salah.
- Kaum wanita dibenarkan berziarah ke kubur (tidak sama dengan hukum menghantar jenazah ke kubur) selagi mana menjaga diri dengan tidak berhias atau melakukan hal-hal yang tidak sepatutnya ketika berziarah.
- Kita perlu menginsafi diri dengan satu nasihat Rasulullah ﷺ menyuruh kaum wanita duduk di rumah dan akan mendapat ganjaran Allah SWT berbanding mendapat dosa jika pergi menghantar jenazah dan kemudiannya bercampur-gaul dengan lelaki yang perlu menguruskan jenazah. Walaupun sedih, kesedihan itu mestilah diatur untuk mengikut peraturan agama agar ianya tidak menjadi sebab yang mendatangkan dosa pula.
Seterusnya, pengajian disambung dengan bacaan Kitab Syarah Hadis Jibril, bab: Rukun Pertama Islam, m/s 15-19. Beberapa intipati utama daripada huraian Al Habib ialah:
- Baginda Rasulullah ﷺ bersabda, “Allah memberikan dunia kepada orang yang disukai-Nya dan tak disukai-Nya (sebab dunia tiada nilai di sisi Allah), tapi Allah tidak beri agama kecuali kepada orang yang disukai oleh Allah SWT.” Maka, tidak seseorang menjadi orang Islam kecuali sudah didahulukan oeh Allah dengan kehendak-Nya yang baik, dan kasih-sayang sehingga diberi hidayah oleh Allah SWT kepada agama Al-Islam.
- Oleh itu, kita yang terpilih perlu bersyukur dan merasa bangga dengan Islam. Kita tidak perlu malu untuk menzahirkan agama ini walaupun kita berada di negara kafir, tidak malu untuk solat walaupun kita bekerja yang semuanya adalah orang kafir, tidak malu untuk menzahirkan adab Islam walaupun kita berkawan dengan orang bukan Islam.
- Rukun Islam ada 5, tapi semuanya bergantung pada yang satu iaitu mengucap dua kalimah syahadah. Kalau diumpamakan khemah, tiang paling tinggi yang tengah itu ialah syahadah, dan tiang-tiang tepinya ialah solat, puasa, zakat dan haji. Kalau seseorang ada tiang yang empat, tapi yang tengahnya tiada, khemah itu takkan tegak berdiri.
Terdapat banyak lagi perincian, dan kisah-kisah tauladan yang Al Habib kongsikan semasa pengajian, dan catatan ini hanyalah secebis daripada lautan ilmu yang disampaikan oleh beliau. Oleh itu, untuk manfaat penuh, luangkan masa untuk menonton rakaman video di atas dan kongsi-kongsikan bersama yang lain untuk manfaat kita bersama.