Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian dan kesyukuran kepada Allah Yang Maha Esa, yang dengan izin-Nya, Maulid Bulanan Majlis Ta’lim Darul Murtadza untuk bulan Jun 2014 telah berjaya diadakan di bawah pimpinan guru mulia Al Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid. Intipati utama tausiyah Al Habib pada kali ialah tentang kepentingan beriman dan kemudian istiqamah dengan iman tersebut.
Dalam muqaddimahnya, Al Habib mengingatkan kepentingan menghidupkan hati dengan berzikir. Pesan beliau, “Orang yang berzikir, walaupun tubuh badannya sakit, hatinya sihat kerana bahagian zikrullah ada dalam hatinya. Sebaliknya orang yang tidak berzikir, maka sesihat dan sesegar mana pun orang itu, hatinya dan rohnya berpenyakit. Orang yang berzikir akan mendapat kekuatan menghadapi segala ujian dalam hidupnya dengan redha disebabkan hatinya itu ‘menyaksikan’ rahsia akan qada’ dan qadarnya Allah SWT.”
Seterusnya Al Habib juga berpesan agar kita mencintai Rasulullah ﷺ melebihi segala-galanya kerana hal itu merupakan bahagian daripada kesempurnaan iman. Antara ajaran baginda Nabi ﷺ yang utama ialah agar kita membebaskan akal daripada terkongkong dengan hasil fikiran sendiri dan menggunakan kemantapan iman di hati untuk melihat sesuatu lebih ‘jauh’ daripada apa yang terzahir di hadapan mata. Contoh terbaik dalam hal ini daripada kalangan sahabat ialah Sayyidina Abu Bakar yang bulat-bulat percaya dengan kisah Israk dan Mikraj Nabi Muhammad ﷺ, walaupun dia hanya diceritakan separuh bahagiannya (Israk) saja.
Contoh teladan daripada Nabi ﷺ pula jelas kelihatan dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyah. Walaupun banyak isi-isi perjanjian itu yang nampak berat sebelah, baginda Nabi ﷺ menyetujui dan mematuhi isi kandungannya. Hal ini menimbulkan ketidakpuasan di hati Sayyidina Umar dan apabila dia menyuarakannya, jawapan yang diperolehinya daripada Rasulullah ﷺ dan Sayyidina Abu Bakar sama. Apakah jawapannya? Dipersilakan mendengar penjelasan Al Habib daripada rakaman J
Setelah dihalang masuk ke kota Mekah dan diminta menandatangai Perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah ﷺ dan kaum muslimin bergerak pulang semula ke kota Madinah. Dalam keadaan yang menampakkan kaum muslimin lemah dan tidak tercapai hasrat hati mereka yang benar-benar merindu untuk masuk ke kota Mekah, Allah SWT menurunkan wahyu surah Al-Fath yang memberitahu Nabi ﷺ bahawa kota Mekah akan jatuh semula ke tangan baginda dan kaum muslimin. Begitulah cara Allah SWT untuk mendidik hati dan iman kaum muslimin untuk percaya kepada perkara yang akan berlaku pada masa akan datang walaupun logik akal fikiran tidak boleh menerimanya ketika itu. Kepercayaan dan keyakinan itulah hakikat sebenar keimanan kepada Allah.
Setelah hanya 2 tahun selepas Perjanjian Hudaibiyah, Mekah jatuh ke tangan Rasulullah, dan jumlah kaum muslimin menjadi berlipat-kali ganda berbanding dakwah Rasulullah ﷺ selama 16 tahun sebelumnya. Begitulah kehendak Allah SWT agar kita tidak terhenti melihat dengan perkara yang ada di hadapan kita saja, tetapi meyakini bahawa Allah SWT mengetahui apa yang tersimpan di sisi-Nya.
Nabi Muhammad ﷺ mendapat perintah untuk istiqamah di dalam iman di dalam surah Hud dan itu adalah perkara terberat yang dihadapi baginda sehinggakan tekanan itu nampak secara zahir pada fizikal baginda, yakni menyebabkan rambut baginda bertukar menjadi putih (beruban). Oleh sebab itulah, ulama-ulama salaf mengatakan, “Keramat paling besar yang diberikan kepada seseorang ialah istiqamah.” Istiqamah dalam iman yang dimaksudkan ialah dengan tidak berganjak daripada keimanan dan sentiasa kembali kepada Allah, walaupun ditimpa pelbagai bentuk ujian dalam kehidupan.
Ganjaran istimewa bagi mereka yang berjaya istiqamah dalam imannya ialah malaikat akan datang menemaninya dalam 3 keadaan genting iaitu:
1. ketika menghadapi sakaratulmaut
2. ketika di alam barzakh sebelum disoal Mungkar dan Nangkir
3. ketika dibangkitkan semula pada hari kiamat
Malaikat akan datang berkali-kali pada saat-saat genting tersebut dan akan berkata, “Jangan kamu takut, jangan kamu sedih dan terimalah berita gembira dengan syurga yang dijanjikan kepada kamu. Kami (malaikat) adalah pembantu kamu di dunia dan di akhirat, wahai fulan yang beriman dan istiqamah dalam iman.”
Ada 3 intipati utama daripada ucapan malaikat iaitu:
- Malaikat menyuruhnya agar jangan takut dengan perkara yang akan berlaku di hadapannya dan orang yang mendengarkan ini akan menjadi yakin dan tenang kerana yang menyatakannya ialah makhluk yang tidak pernah bermaksiat kepada Allah SWT dan tahu apa yang akan berlaku di hadapan nanti.
- Malaikat menyuruh agar jangan sedih dengan perkara yang ditinggalkan di belakang (yakni keluarga dan orang yang disayangi di dunia), kerana malaikat akan membantu menjaga mereka berkat keadaannya yang beriman dan istiqamah dalam imannya ketika hidup.
- Malaikat memberi berita gembira akan syurga yang dijanjikan untuknya.
Semoga Allah mengizinkan kita semua termasuk daripada golongan yang akan diperdengarkan ucapan ini nanti, Amin. Jangan ketinggalan menonton rakaman video di atas untuk manfaat penuh, dan dipersilakan berkongsi kebaikan ini dengan ahli keluarga, rakan dan teman untuk manfaat kita bersama.