بسم الله الرحمن الرحيم
Alhamdulillah, sesi pengajian Majlis Ta’lim Darul Murtadza pada hari Jumaat, 13.02.2015 yang lalu bertambah seri dengan kehadiran tetamu-tetamu istimewa iaitu Habib Abdul Rahman bin Ali Masyur, Habib Abdul Rahman Toha Al-Habsyi, Syeikh Dr Umar Faruq dan pemilik surau merdu, Ustaz Mostafa Ateef.
Guru kita, Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid menyambung perbahasan tafsir Surah An-Nisa, ayat 32-33. Pengajaran penting yang perlu kita ambil daripada dua ayat ini, antaranya ialah:
- Setiap orang perlu redha dengan ketentuan Allah SWT yang menjadikannya sebagai lelaki atau perempuan. Masing-masing ada ketetapan dan tugasan yang tersendiri dan sesiapa yang lebih tinggi ketaqwaannya, maka darjatnya akan lebih tinggi di sisi Allah Ta’ala tanpa mengira jantina.
- Allah SWT telah menetapkan bahagian harta warisan kepada yang berhak untuk mewarisinya, maka ketetapan ini perlu dipatuhi, dan harta warisan tidak boleh diberikan kepada sesiapa sewenang-wenangnya.
Pada sesi kali ini, kitab Riyadhus Solihin dan Syarah Hadis Jibril tidak dibaca untuk memberi laluan untuk tetamu-tetamu istimewa menyampaikan nasihat dan mutiara ilmu mereka.
Dalam tausiyahnya, Syeikh Dr Umar Faruq membawa kita merenung bagaimana Islam pada masa lampau telah berjaya menyatukan pelbagai bangsa dengan aman, tanpa ada paksaan. Sayangnya hari ini, terdapat banyak gambaran negatif tentang Islam dan ini adalah kekurangan kita sendiri yang tidak mengamalkannya dengan sempurna. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menterjemahkan keindahan agama ini melalui perbuatan, perkataan kita sesama kita dan juga dengan bukan Muslim.
Habib Abdul Rahman Toha Al-Habsyi pula membawakan 2 kisah yang sangat menarik bagaimana ilmu yang semakin bertambah sepatutnya menambahkan rasa takut kita kepada Allah SWT. Ingin tahu ceritanya? Dipersilakan menonton rakaman di atas.
Habib Abdul Rahman bin Ali Masyur pula mengingatkan kita tentang sifat Pemurah Allah SWT. Allah mendahulukan qabul-Nya sebelum menyuruh kita meminta (berdoa). Oleh itu, jadikan Allah SWT tempat kita meminta, dan kita perlu merasakan nikmat apabila menyebut perkataan ‘Ya Allah’, berdoa dengan kusyuk dan yakin yang doa kita akan dimaqbulkan Allah SWT. Sebagai orang beriman, kita perlu menunaikan hak persaudaraan dengan mendoakan agar Allah SWT mengangkat musibah yang terkena pada semua saudara Islam kita. Antara doa yang diajarkan ialah:
. أَصْلَحَ اللهُ أُمُوْرَ الْمُسْلِمِيْنَ صَرَفَ اللهُ شَرَّ الْمُؤْذِيْنَ
Semoga Allah memperbaiki urusan kaum muslimim dan menghindarkan mereka dari kejahatan orang-orang yang suka menggangu.
Majlis ditutup dengan suara merdu Ustaz Mostafa Ateef yang membawakan beberapa qasidah termasuklah“Qamarun”. Ada banyak lagi peringatan,hikmah, kisah tauladan dan ilmu yang telah dikongsikan bersama oleh guru-guru kita. Untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut, jangan ketinggalan menonton video rakaman di atas dan mohon ‘viral’-kan untuk manfaat lebih ramai lagi. 🙂