بسماللهالرحمنالحيم
Alhamdulillah, pengajian Majlis Ta’lim Darul Murtadza pada 14.11.2014 berlangsung seperti biasa di bawah pimpinan guru kesayangan kita, Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid. Al Habib membahaskan tafsir Surah An-Nisa’, ayat 3 dan 4.
Dalam perbahasannya, Al Habib mengingatkan untuk kita mengambil beberapa pengajaran, antaranya:
- Adil itu ialah apabila seseorang memberikan hak kepada orang lain sepertimana dia menuntut hak dirinya. Ehsan pula ialah apabila seseorang memberi hak orang lain tanpa meminta hak dirinya sendiri, Darjat ehsan lebih tinggi daripada darjat adil kerana ianya lebih sukar untuk dilaksanakan.
- Seseorang yang membela anak yatim dan ingin mengahwininya setelah dewasa mesti berlaku adil dan tidak mengurangkan mas kahwinnya dengan alasan telah membelanya sebelum itu. Jika khuatir tidak mampu melakukannya, adalah lebih baik mencari wanita lain untuk dinikahi.
- Bersikap adil tidak terhad kepada suami yang berpoligami sahaja tetapi tetap dituntut walaupun beristeri cuma seorang. Suami yang berpoligami mesti berlaku adil dalam segala hal zahir seperti pemberian harta, giliran dan termasuk cara penampilannya di hadapan setiap isterinya.
- Mas kahwin itu ialah satu pemberian wajib suami kepada isteri yang baru dinikahi. Walaupun menjadi hak isteri, isteri tidak dilarang memberikannya kepada suami, bahkan jika diberikan, ianya akan menjadi sesuatu yang lazat, mudah dan bermanfaat untuk di makan atau digunakan oleh suami.
Dalam membincangkan sifat adil, Al Habib turut membawakan kisah Rasulullah ﷺ dan sahabatnya Sayyidina Abdullah bin Rawahah yang bersifat adil walaupun kepada musuh Islam iaitu kaum Yahudi. Kalau nak tahu kisahnya, dipersilakan menonton rakamannya.
Seterusnya, pengajian disambung dengan bacaan beberapa potong ayat Al-Quran daripada Bab Mengingati Kematian dan Mengurangkan Angan-Angan, Kitab Riyadhus Solihin. Dalam ayat-ayat ini, Allah SWT mengingatkan manusia bahawa kematian itu adalah pasti, tetapi tidak seorang manusia pun mengetahui tempat dan bila waktunya dia akan mati.
Orang beriman mesti tahu bahawa kematian bukanlah penghujung kepada kehidupan dan akan sibuk beramal selagi hidup untuk berehat di akhirat nanti. Oleh itu, kita semua menggunakan sebaiknya umur yang singkat yang Allah SWT berikan di dunia sebagai modal untuk mendapatkan umur yang tanpa sempadan di akhirat nanti. “
Seterusnya kita diingatkan dengan perkara yang membuatkan ramai manusia lupa kepada hakikat kematian iaitu cintakan harta dan anak-anak. Oleh itu, kita harus berwaspada daripada dilalaikan oleh kedua-dua ini dan berusaha memperbanyakkan infak harta sebelum maut menjelma.
Dalam pengajian kali ini, Al Habib turut membawakan beberapa kisah menarik tentang ketinggian kefahamanan Sayyidina Ali bin Abi Talib terhadap ayat-ayat Al-Quran. Untuk mengetahuinya dan mendapatkan manfaatnya, dipersilakan menonton video di atas.
Setelah kita direzekikan mendapat ilmu yang bermanfaat sebegini, sewajarnyalah kita berkongsi sama dengan orang lain juga, betul tak? 🙂