بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وسلم
Alhamdulillah, pengajian Majlis Ta’lim Darul Murtadza pada 16 September 2016 diteruskan lagi di bawah pimpinan guru kesayangan ramai, Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid.
Al Habib membahaskan Tafsir Surah Al-Maedah, ayat 3. Dalam penerangannya, Al Habib mengingatkan kita untuk mengambil beberapa pengajaran, antaranya:
Manusia dicipta untuk mengimarahkan bumi, dan untuk tujuan itu Allah سبحانه و تعالى menyediakan dua cara:
- makanan, yakni Allah sediakan makanan dan peraturan-peraturan berkaitannya. Oleh sebab itu, janganlah kita makan hanya untuk kenyang, kerana jika begitu tiada bezanya kita dengan haiwan.
- pembiakan melalui pernikahan dan zuriat. Jadi, Allah galakkan perkara berkaitan pernikahan, dan melarang perkara yang sebaliknya iaitu orang yang mampu tetapi tidak mahu berkahwin atau orang yang berkahwin dengan sama jantina.
Kemudian, Al Habib menyambung lagi dengan menghuraikan pengajaran-pengajaran daripada hadis-hadis bab ‘Adab Makan – Baca Basmallah pada Permulaan Makan, dan Hamdalllah Setelah Selesai Makan’, m/s 374, kitab Riyadhus Solihin. Dalam syarahannya, Al Habib turut menerangkan satu masalah:
Jika makan bersama beramai-ramai, adakah cukup jika seorang mengucapkan بسم الله الرحمن الرحيم atau perlu setiap orang mengucapkannya?
Terdapat 2 pendapat dalam masalah ini:
- Pertama – Cukup kalau seorang saja mengucapkannya.
- Kedua, dan pendapat yang lebih kuat ialah digalakkan setiap orang membaca Basmallah kerana ada disebut dalam hadis bahawa ada seseorang datang dan terus makan tanpa membaca بسم الله الرحمن الرحيم , makanan itu jadi cepat habis dan tidak cukup. Kata Rasulullah ﷺ, “Kalau tadi dia baca بسم الله الرحمن الرحيم, pasti makanan itu jadi cukup.”
Tambahan adab ketika makan beramai-ramai ialah menungggu orang yang lebih tua atau orang dimuliakan untuk memulakan makan.
Seterusnya, pengajian disambung dengan bacaan Kitab Syarah Hadis Jibril, bab: Istinjak, m/s 100. Untuk mengetahui isi penerangan Al Habib, dipersilakan menonton rakaman di atas.
Catatan ini hanyalah sekelumit daripada ilmu yang telah disampaikan oleh Al Habib. Oleh sebab itu, dipersilakan semua meluangkanlah masa untuk menonton rakaman video di atas dan dipersilakan berkongsi bersama yang lain.