بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى اله و صحبه وسلم
Alhamdulillah, pada pengajian Majlis Ta’lim Darul Murtadza 20 Mac 2015 yang lalu, kita direzekikan untuk hadir menadah telinga, dan membuka hati untuk menimba ilmu daripada Al Habib Naqjmudin bin Othman Al-Khered yang menggantikan guru kita Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid yang masih bermusafir.
Pengajian dimulakan dengan sambungan perbahasan Tafsir Surah An-Nisa, ayat 41-43. Dalam perbahasannya, Al Habib menekankan beberapa pengajaran penting iaitu:
- Jadilah kita orang yang menggembirakan hati Rasulullah ﷺ dengan amalan yang kita lakukan. Jangan kita membiarkan Rasulullah ﷺ menjadi saksi akan kemungkaran kita.
- Ketika menghadapi ujian, jangan kita katakan ‘kalau’ kerana itu akan menjadi jalan dan peluang kepada syaitan untuk menghilangkan redha kita kepada ketetapan Allah سبحانه و تعالى.
- Allah سبحانه و تعالى mengharamkan arak secara berperingkat dan kita perlu mengambil teladan daripada cara Allah سبحانه و تعالى ini dalam menjalankan kerja-kerja dakwah.
Dalam huraiannya, Al Habib juga menerangkan beberapa perkara berkaitan wudhuk, dan cara bertayammum. Untuk mengetahui perinciannya, dipersilakan menonton rakaman di atas ☺
Seterusnya, Al Habib membahaskan pengajaran-pengajaran daripada hadis 3-5 daripada bab ‘Tawadhuk dan Merendah Diri Sesama Mukmin’, kitab Riyadhus Solihin. Antaranya ialah:
- Rasulullah ﷺ mengajarkan agar kita memberi salam walaupun kepada kanak-kanak. Bila kita melakukan sedemikian, maka secara tidak langsung kita mengajar mereka akhlak yang baik, dan mereka pun akan membesar dengan mencontohi akhlak yang baik itu. Tetapi jika kita sombong dengan mereka, maka mereka juga akan membesar dengan meniru akhlak tidak baik itu daripada kita.
- Rasulullah ﷺ sentiasa berkhidmat kepada keluarganya dengan membantu kerja-kerja di rumah. Baginda tak masuk rumah kecuali dengan senyuman dan salam, tetapi apabila tiba waktu solat, baginda akan meninggalkan keluarganya dan seolah-olah tidak kenal mereka lagi.
Hadis-hadis yang dibacakan ini menuntut kita untuk mencontohi sifat tawadhuk baginda Rasulullah ﷺ. Tawadhuk lawannya takabbur. Orang yang bermaksiat kerana menurut hawa nafsunya, akan Allah maafkan. Tapi yang ditakuti ialah jika seseorang bermaksiat kerana takabbur, takut-takut tergolong seperti iblis dan dilaknat oleh Allah.
Seterusnya, pengajian disambung dengan bacaan Kitab Syarah Hadis Jibril, bab: Beriman kepada Rasul, m/s 32. Beberapa kelebihan Nabi Muhammad ﷺ yang disebutkan dalam bab ini adalah seperti berikut:
1. Perkataannya sedikit tetapi mempunyai makna yang mendalam dan mencakupi semua aspek
2. Baginda diberi bantuan dalam peperangan dengan perasaan takut oleh pihak musuh
3. Dihalalkan untuk baginda harta perang
4. Bumi ini dijadikan suci dan boleh menjadi tempat sujud
5. Baginda diutuskan bagi semua makhluk
6. Baginda ialah penyudah bagi Nabi-nabi terdahulu.
Catitan ini hanyalah sedikit perkongsian beberapa isi pengajaran yang dirasakan penting. Bagi mendapatkan manfaat penuh, mohon luangkan masa untuk menonton sendiri rakaman-ramakan video di atas dan dipersilakan berkongsi dengan yang lain untuk kebaikan kita bersama, in sha Allah.