بسم الله الرحمن الحيم
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Ta’ala yang memberikan kita rezeki menambah ilmu melalui satu lagi siri pengajian MTDM di bawah pimpinan guru kesayangan ramai, Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid.
Kelas dimulakan dengan sambungan perbahasan Tafsir Surah An-Nisa, ayat 5-10. Dalam perbahasannya, Al Habib menyampaikan beberapa pengajaran penting, antaranya:
- Golongan sufahak (anak yatim, org kurang waras) berhak mendapatkan rezeki secukupnya dari segi makanan dan juga pakaian yang elok. Jangan kerana kekurangan akal mereka. mereka diberi makanan dan pakaian ala kadar saja. Umat Islam seharusnya terkedepan dalam membela nasib golongan istimewa ini kerana teorinya sudah ada dalam ayat ini (Al-Quran).
- Penjaga golongan sufahak perlu amanah dalam mengelolakan harta golongan ini dan memberi mereka pendidikan untuk menguruskan harta sebelum mereka mencapai usia baligh. Setelah itu mereka perlu diuji dan diserahkan harta dengan segera jika diyakini mereka mampu mengurusnya hartanya dengan baik.
- Allah Ta’ala telah menetapkan bahagian tertentu untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak daripada harta warisan. Oleh itu, setiap bahagian perlu diserahkan kepada yang hak, dan Nabi ﷺ ada berpesan agar kaum lelaki menjauhkan diri daripada harta 2 golongan yang lemah iaitu wanita dan kanak-kanak (anak yatim).
- Seseorang hanya boleh mewasiatkan maksimum 1/3 daripada hartanya untuk diinfakkan kepada badan kebajikan. Ini untuk melindungi hak ahli keluarga dan waris hartanya agar tidak ditinggalkan dalam keadaan menjadi beban kepada orang lain.
Seterusnya, pengajian disambung dengan bacaan beberapa potong ayat Al-Quran dan 2 hadis daripada Bab 65 – ‘Banyak Mengingat Kematian’, kitab Riyadhus Solihin.
Dalam syarahannya, Al Habib mengingatkan, “Hidup di dunia ini singkat, maka jangan habiskan hidup di dunia ini untuk perkara yang akan habis di dunia ini. Pergunakan masa yang singkat ini, yang sedikit ini, untuk mendapatkan kehidupan yang tiada batasan, kenikmatan yang tiada penghujung. Susah di sini sikit tak apa, nanti senang di sana lama. Inilah neraca timbangan mukminin dan mukminat.”
Beberapa pengajaran penting lain yang perlu diberikan perhatian adalah seperti berikut:
- Jangan bertangguh-tangguh dalam beramal. Lakukan segera sebelum termakan pujukan syaitan untuk bertangguh.
- Usahakan untuk menulis wasiat pada setiap 1 / 2 / 3 malam sekali. Jika berhutang, maka jadi wajib untuk menulis wasiat, dan maklumkan pada ahli keluarga tempat wasiat disimpan.
- Hikmah di minta kita menulis wasiat sebelum tidur ialah agar seseorang merasakan yang tidurnya itu mungkin yang terakhir, dan dengan itu akan meletakkan pengharapan rahmat dan kemaafan yang tinggi pada Allah SWT.
- Terdapat banyak lagi perkongsian-perkongsian ilmu yang tak mampu ditampung oleh secebis catitan ini. Oleh itu, untuk manfaat penuh, mohon luangkan masa untuk menonton rakaman-ramakan video di atas dan jangan segan-segan untuk berkongsi dengan yang lain kerana tanggungjawab orang yang mendapat ilmu ialah menyampaikan pula kepada yang lain. Jom sama-sama kita usahakan 🙂