بسم الله الرحمن الحيم
Alhamdulillah, dengan izin Allah Ta’ala, pengajian Majlis Ta’lim Darul Murtadza diizinkan untuk berlangung sekali lagi di bawah pimpinan guru kesayangan ramai, Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid pada 23.01.2015 yang lalu.
Pengajian dimulakan dengan menyambung perbahasan tafsir surah An-Nisa ayat 25-28. Antara kupasan pentingnya adalah seperti berikut:
- Perkahwinan memerlukan kemampuan dari segi fizikal dan material untuk memberi nafkah zahir dan batin kepada isteri. Tetapi jika tidak mampu dari segi material, Islam membenarkan seorang lelaki untuk mengahwini perempuan hamba sahaya, yang lebih rendah kadar mahar dan nafkahnya. Walaupun begitu, seseorang tetap perlu memilih yang terbaik daripada golongan hamba sahaya – yakni memilih perempuan yang beriman, dan yang menjaga kehormatannya.
- Dalam urusan pernikahan, Islam menyuruh untuk mencari pasangan yang baik agamanya dan akhlaknya. Namun begitu, keserasian dari segi latar masing-masing turut perlu diberikan perhatian yang sewajarnya.
- Lelaki beriman tidak dibenarkan untuk mengahwini wanita yang musyrik, kerana perempuan hamba sahaya adalah lebih baik kedudukannya. Lelaki yang mengahwini hamba sahaya pula tidak dibenarkan merendah-rendahkan isterinya, kerana hakikat kedudukan seseorang itu bergantung kepada keimanannya yang hanya diketahui oleh Allah SWT. Tambahan lagi kedua-duanya berasal dari keturunan yang sama ialah Nabi Adam a.s.
- Lelaki perlu meminta izin nikah daripada tuan empunya hamba, tetapi mas kahwinnya mesti diserahkan kepada tangan perempuan itu sendiri. Isteri perlu diperlakukan dengan baik setelah dikahwini, dan tidak diambil kesempatan untuk suami kedekut atau melayannya ala kadar kerana statusnya sebagai hamba.
- Allah SWT sendiri menjamin rezeki orang bernikah dan anak-anak yang bakal dilahirkan. Oleh kerana itu jangan ada orang yang risau jadi miskin kerana perlu mengeluarkan nafkah anak-anak.
Seterusnya, pengajian disambung dengan bacaan hadis 5-9 dan sekaligus menamatkan bab ‘Kewaraqan Dan Meninggalkan Apa-apa Yang Syubhat”, kitab Riyadhus Solihin. Antara pengajaran yang perlu diberikan perhatian ialah:
- Seorang hamba datang memberitahu yang sepasang suami-isteri pernah disusuinya. Walaupun hamba itu datang tanpa bukti yang kukuh, sahabat tersebut mengamalkan sifat warak dan menceraikan isterinya atas nasihat Rasulullah ﷺ. Kejadian itu juga menunjukkan kepentingan merekodkan anak yang disusukan untuk mengelakkan daripada berlaku perkahwinan antara adik-beradik susuan.
- Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq sangat menjaga apa yang masuk ke dalam perutnya. Apabila suatu hari dia termakan sesuatu daripada hasil syubhat, dia memaksa diri sehingga hampir menyusahkan diri sendiri demi mengeluarkan semula makanan yang telah termakan.
Dalam penjelasannya Al Habib ada membawa beberapa kisah lagi tentang keadilan Sayyidina Umar Al-Khattab. Untuk mengetahuinya, dipersilakan menonton rakaman video di atas.
Sebelum menutup majlis, sambungan syarah Kitab Syarah Hadis Jibril diteruskan dengan membaca sifat-sifat Salbiyyah yang terdiri daripada Al-Qidam (Sedia ada), Al-Baqo’ (Yang Maha Kekal), Al-Mukhalafatuhu lil hawadis (Berlainan daripada makhluk), Qiyamuhu binnafsihi (Berdiri sendiri) dan Wahdaniah (Yang Maha Esa). Untuk penerangan lanjut setiap satunya, dipersilakan menonton rakaman di atas.
Ingin diingatkan bahawa catatan ini hanyalah secebis daripada lautan ilmu yang disampaikan oleh Al Habib. Oleh itu, untuk manfaat penuh, luangkan masa untuk menonton rakaman video di atas dan dipersilakan berkongsi bersama yang lain untuk manfaat bersama. Wallahu’alam.