بِسْمِاللّهِالرَّحْمَنِالرَّحِيْمِ
Alhamdulillah, pengajian Majlis Ta’lim Darul Murtadza pada 26.12.2014 diteruskan di bawah pimpinan Al Habib Najmuddin Othman Al Khered, yang menggantikan guru kita, Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid yang sedang menunaikan ibadah umrah.
Al Habib Najmudin membahaskan Tafsir Surah An-Nisa, ayat 21 dan 22. Dalam perbahasannya, Al Habib Najmudin mengingatkan untuk kita mengambil beberapa pengajaran, antaranya:
- Seseorang yang hendak menceraikan isterinya tidak boleh menuntut maskahwin yang telah diberikan kecuali dengan syarat tertentu seperti yang ditentukan syarak contohnya jika isteri berzina atau nusyuz. Ayat-ayat dalam surah ini (An-Nisa) banyak menunjukkan keadilan Islam dan ianya merupakan kebijaksanaan Allah SWT yang telah memberikan kepada kita garis panduan dan pembelaan kepada perempuan, sebagai kaum yang lemah, tapi diberikan hak yang sewajarnya walau dalam keadaan apa pun, hatta ketika diceraikan.
- Ketika berlaku akad nikah, seorang suami bukan hanya berjanji dengan ibubapa isteri, 2 orang saksi ataupun para hadirin, tetapi yang lebih jauh daripada itu ialah dia telah mengikat dengan janji dengan kalimat Allah, dan Allah SWT untuk memperisterikan, menjaga, mengekalkan kehidupan dengan baik atau menceraikan dengan baik juga.
- Dalam ayat 22, Allah SWT mengharamkan seorang anak untuk mengahwini ibu tirinya, yang sebelum ini pernah berlaku pada zaman jahiliyyah. Perbuatan tersebut adalah keji dan dibenci di sisi Allah Ta’ala, bahkan turut dicemuh dan dibenci oleh masyarakat jahiliyyah sendiri.
Kemudian, pengajian disambung dengan bacaan hadis 1 daripada bab 69: ‘Kewaraqan dan Meninggalkan Yang Syubhat’, kitab Riyadhus Solihin. Antara pengajaran pentingnya ialah:
- Warak ialah meninggalkan perkara-perkara yang syubhat dan tidak perlu daripada hal-hal dunia. Meninggalkan yang haram itu bukan warak, kerana itu sudah merupakan satu kewajipan.
- Walaupun warak yang kita faham asasnya ialah pada makanan, supaya kita makan yang hanya yang jelas halal dan bukan yang meragukan, tetapi yang lebih penting sebenarnya ialah menjaga warak batin – iaitu membersihkan hati dari sifat-sifat buruk dan lintasan-lintasan sangkaan tak baik.
- Imam Al Haddad mengatakan bahawa sesungguhnya perkara yang syubhat itu lebih bahaya dari yang haram, kerana perkara syubhat itu tak diketahui haram ataupun halal. Kalau seseorang tahu dia buat sesuatu yang haram, maka dia akan bertaubat untuk mohon keampunan Allah Ta’ala. Tapi kalau dia tak tahu yang perbuatannya itu salah, dia takkan bertaubat dan akan membiarkan dirinya berada dalam kemurkaan Allah, dan berada dalam keadaan sentiasa berdosa, dan semakin jauh dari Allah SWT.
Dalam perbahasannya, Al Habib Najmudin membawakan banyak kisah-kisah warak para salafussoleh yang perlu kita jadikan renungan bersama. Untuk mendapatkan manfaatnya, mohon luangkan masa untuk menonton rakaman di atas.
Seterusnya, pengajian disambung dengan bacaan Kitab Syarah Hadis Jibril, bab: Rukun Pertama Islam, m/s 22. Beberapa intipati utama daripada huraian Al Habib ialah:
- Nilai syahadah itu cukup besar untuk dipandang, difahami agar kita saling mengasihi dan menyayangi di antara satu dengan yang lain. Kesamaan dalam ucapan أشهدُأنْلاإلهَإلاَّالله. وأشهدُأنَّمحمّدًارسولُالله ini sepatutnya mendahului pandangan-pandangan dan perbezaan yang lain seperti ideologi politik, bangsa dll untuk menyatukan kita.
- Dengan membenarkan syahadah itu wajiblah kepada mengikuti baginda Rasulullah ﷺ. Tiada jalan untuk kita sampai kepada Allah SWT kecuali melaluinya jalan Rasulullah ﷺ.
Terdapat banyak lagi perincian, dan kisah-kisah tauladan yang Al Habib Najmudin kongsikan semasa pengajian, dan catatan ini hanyalah secebis daripada lautan ilmu yang disampaikan oleh beliau. Oleh itu, untuk manfaat penuh, luangkan masa untuk menonton rakaman video di atas dan kongsi-kongsikan bersama yang lain.