بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وسلم
Alhamdulillah, pada 26 Ogos 2016 yang lalu kita diizinkan bertemu dalam perkumpulan penuh barakah dengan niat-niat yang baik, antara yang utama untuk mencari ilmu dan mengamalkannya. Majlis kali ini dipimpin oleh yang dimuliakan Al Habib Abdullah bin Abdul Qadir Al Habsyi, dengan terjemahan oleh yang berbahagia Ustaz Ashraff bin Osman.
Pengajian bermula dengan sambungan perbahasan Tafsir Surah An-Nisa, ayat 173-175. Dalam penerangannya, Al Habib menekankan beberapa pengajaran penting iaitu:
- Iman itu boleh bertambah dengan amal soleh dan boleh berkurang dengan maksiat. Sekiranya seseorang berbuat maksiat, ketika itu kesempurnaan iman tiada di dalam hatinya, tetapi dia masih tetap seorang yang beriman, yakni kita tidak boleh dengan mudah menafikan keimanan seseorang walaupun mereka jelas berbuat maksiat. Dengan taubat, kesempurnaan iman akan kembali kepadanya.
- Al-Quran itu mukjizat dan tiada sesiapa yang mampu menanggungnya kecuali dada Nabi Muhammad ﷺ. Oleh sebab itulah telah sepakat semua ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah bahawa makhluk paling afdhal ialah Nabi Muhammad ﷺ. Walaupun ada golongan yang tidak bersetuju dengan pendapat ini, kita adalah dilarang untuk berbalah tentangnya.
Dalam perbahasannya, Al Habib juga berpesan untuk kita mengambil peluang untuk berbuat baik kepada para ulama dan auliya Allah سبحانه و تعالى ketika di dunia? Apakah faedahnya? Dipersilakan mendengar sendiri penjelasan Al Habib daripada rakaman video 🙂
Kemudian, Al Habib menyambung dengan membahaskan hadis daripada ‘Bab Istikharah dan Musyawarah’, kitab Riyadhus Solihin. Disamping menerangkan tentang doa solat istikharah, Al Habib turut menerangkan tentang solat hajat. Untuk mengetahui pesanan penting Habib daripada hadis tersebut, dipersilakan menonton daripada rakaman video.
Seterusnya, pengajian disambung dengan bacaan Kitab Syarah Hadis Jibril, bab: Jenis-jenis Hadas, m/s 96. Sebelum menutup majlis, Al Habib sempat memberi jawapan kepada persoalan – “Mana yang lebih afdhal antara solat jemaah di masjid atau dengan jemaah dengan keluarga di rumah?” Berminat ingin tahu jawapannya? Dipersilakan menonton semula rakaman majlis di laman Youtube Darul Murtadza kerana terdapat banyak pesanan dan pengajaran yang telah disampaikan oleh Al Habib. Sekiranya bermanfaat, dipersilakan berkongsi catitan ini dengan yang lain.