بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وسلم
Alhamdulillah, pengajian Majlis Ta’lim Darul Murtadza pada 29 April 2016 diteruskan di bawah pimpinan guru yang dihormati lagi dikasihi Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid.
Al Habib membahaskan Tafsir Surah An-Nisa, ayat 149-153. Salah satu isi utama penerangan Al Habib ialah,
“Memaafkan juga merupakan salah satu balasan kepada orang yang menzalimi.
Berhadapan dengan kezaliman orang pada hakikatnya bukan berhadapan dengan orang itu saja, tapi kita berhadapan dengan emosi kita sendiri. Kita bukan hanya melihat sejauh mana kezaliman dan salahnya orang itu tapi kita berhadapan dengan diri untuk memilih apakah sikap yang paling baik untuk kita.
Kalau kita fokus kepada kezaliman orang, kita akan terus marah atau murka pada orang yang zalim itu. Tetapi kalau kita melihat dari sudut agama adakah ruang untuk kita membalas dengan yang lebih baik atau kita hanya ingin memuaskan hawa nafsu kita kerana geram sangat dengan orang itu?”
Kemudian, pengajian disambung dengan bacaan hadis daripada bab ‘Memuliakan Tetamu’, kitab Riyadhus Solihin, m/s 359. Dalam membahaskan tajuk ini, Al Habib sempat menerangkan tentang beberapa adab seorang tetamu, iaitu:
- Beri salam kepada tuan rumah dengan lengkap, jangan ucapkan yang tidak lengkap seperti ‘Askum’ atau lain-lain yang banyak orang gunakan dalam ‘whatsapp’.
- Mengucapkan dengan betul “Assalamualaikum’, bukan ‘Salamualaikum’.
- Beri salam dari sisi kiri atau kanan pintu, jangan dari arah hadapan pintu rumah untuk menjaga daripada terlihat aurat ahli rumah orang yang ingin diziarahi
- Minta izin untuk masuk. Jangan terus masuk sahaja – beri salam itu satu adab, dan minta izin masuk itu satu adab yang lain.
Seterusnya, pengajian disambung dengan bacaan Kitab Syarah Hadis Jibril, bab: Tayammum, m/s 90. Beberapa syarat dibenarkan bertayammum telah dibacakan tetapi akan dibahaskan pada kelas akan datang untuk memberi laluan tausiyah daripada tetamu – Habib Abdullah Al-Masyhur dari kota Madinah Al-Munawwarah.
Dalam tausiyahnya yang ringkas tapi padat, Al Habib Abdullah berpesan akan kepentingan menghadiri majlis ilmu dan berakhlak dengan akhlaknya Rasulullah ﷺ. Pesan beliau lagi,
“Seseorang Muslim itu perlu menghiasi diri dengan akhlak Nabi ﷺ ketika bersama ahli keluarga, anak dan juga teman. Tidak boleh untuk seseorang itu punya sikap berbeza di luar dan di dalam rumah, ()yakni tidak boleh melebihkan kawan-kawan daripada ahli keluarga.”
Terdapat banyak lagi perincian, dan kisah-kisah tauladan yang Al Habib kongsikan semasa pengajian, dan catatan ini hanyalah setitis daripada lautan ilmu yang disampaikan oleh Al Habib. Oleh itu, untuk manfaat penuh, luangkan masa untuk menonton rakaman video di laman Youtube Darul Murtadza. Dipersilakan kongsi dengan yang lain.