بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وسلم
Alhamdulillah dengan izin Allah سبحانه و تعالى kita direzekikan umur dan kelapangan untuk sama-sama bertalaqqi bersama guru yang dimuliakan Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid dalam Majlis Ta’lim Darul Murtadza pada 29 Julai 2016 yang lalu.
Majlis dimulakan dengan sambungan perbahasan Tafsir Surah An-Nisa, ayat 165-166. Antara isi utama dalam penerangan Al Habib ialah: “Dua aspek penting dalam pendidikan dan pengajaran ialah:
- otak atau akal yang diberikan pelbagai maklumat, dan
- emosi/hati yang diberikan kisah-kisah yang menyentuh hati, yakni kisah-kisah benar daripada Al-Quran.
Jika kedua-dua aspek ini disentuh, maka ianya akan memberi kesan langsung kepada perangai (akhlak) seseorang.”
Dalam hujahnya, Al Habib turut berpesan agar kita meninggalkan untuk berbicara ayat-ayat berkaitan sifat Allah سبحانه و تعالى kerana khuatir akan tersalah menyamakan Allah dengan makhluk. Pesan beliau:
“Tinggalkan persoalan seperti ini. Bukan untuk kita mempersoalkan tentang bagaimana Allah, tempatnya di mana… Kita beriman kepada Allah سبحانه و تعالى dengan kesempurnaan yang ada pada Allah dan sucinya Allah daripada segala kekurangan.”
Dalam bahagian kedua majlis, Al Habib menghuraikan teladan-teladan yang boleh diambil daripada hadis-hadis bab ‘Sunnah Menyampaikan Khabar Gembira dan Mengucapkan Selamat Kepada Orang yang Memperoleh Kebahagiaan’, kitab Riyadhus Solihin, m/s 362 . Antara teladan yang utama ialah:
- Menyampaikan berita gembira tentang saudara Islam kita yang kita tahu, dan mengucapkan tahniah kepadanya. Sikap ini akan mengeratkan hubungan kasih-sayang antara sesama umat Islam dan menghancurkan perasaan hasad dengki.
- Apabila berlaku musibah pula – tak kira apa jenisnya, hatta terkena duri sekalipun, ada dua cara menghadapinya:
- Orang yang berlaku musibah kepadanya perlu mengucapkan “Innalillahi wa inna ilaihi roji’un” dan berdoa seperti berikut: “Ya Allah, berikan aku ganjaran akan musibah yang menimpa aku dan gantikan untuk aku yang lebih baik daripada musibah yang menimpa aku.”
- Manakala, orang yang mendapat tahu saudara Islamnya ditimpa musibah, contohnya berlaku kematian, perlu mengucapkan takziah dengan berdoa seperti berikut: “Semoga Allah membesarkan ganjaranmu (ahli keluarga), semoga Allah سبحانه و تعالى memberi yang terbaik daripada musibah yang menimpa kamu ini, semoga Allah mengampunkan dosa si mati.”
Dalam bahagian ketiga majlis, pengajian disambung dengan bacaan Kitab Syarah Hadis Jibril, bab: ‘Fardhu dan Kaifiat Tayammum’, m/s 92. Kali ini Al Habib menunjukkan cara praktikal melakukan tayammum.
Untuk melihat sendiri dan untuk mendapatkan lebih banyak ilmu dan perkongsian daripada Al Habib, dipersilakan menonton rakaman video di laman ‘Youtube” Darul Murtadza. Nota ini hanyalah meringkaskan setitis daripada curahan ilmu yang disampaikan Al Habib. Dipersilakan juga berkongsi dengan yang lain juga agar manfaatnya dapat disebarluaskan lagi.