بسم الله الرحمن الرحيم
Alhamdulillah, dengan izin Allah Ta’ala, pengajian Majlis Ta’lim Darul Murtadza diizinkan untuk berlangung sekali lagi di bawah pimpinan guru kesayangan kita semua, Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid pada 31.10.2014 yang lalu.
Setelah menamatkan perbahasan ayat-ayat terakhir daripada surah Ali-Imran minggu lepas, tiba masanya untuk kita bersama-sama mentelaah surah keempat dalam Al-Quran nul Kareem iaitu surah An-Nisa’. Namun begitu, Al Habib berpesan agar kita berusaha untuk mengamalkan apa yang sudah dipelajari bersama daripada 3 surah terdahulu, sebagai usaha untuk menteladani sikap sahabat Rasulullah ﷺ yang warak, di mana mereka tidak akan mempelajari ayat yang baru sebelum menghafal dan mengamalkan ayat yang telah dipelajari sebelumnya.
Sebelum memulakan perbahasannya, Al Habib memberikan sedikit muqaddimah tentang surah An-Nisa. Antaranya ialah:
- Surah ini diberi nama surah ‘Perempuan’ untuk menunjukkan bagaimana Allah SWT memuliakan dan memberi perhatian khusus kepada kaum wanita.
- Allah SWT memperincikan cara tudung dan pakaian wanita sebagai satu penghormatan kepada wanita kerana ketinggian nilai mereka, dan bukannya sebagai kekangan kebebasan mereka.
- Dalam berpakaian, wanita mesti memastikan tudungnya lebarmenutup leher dan dadanya, serta pakaiannya tidak ketat dan melekap di badan. Turut diingatkan agar wanita menutup kaki yang merupakan sebahagian daripada aurat wanita juga.
- Surah ini mempunyai 176 ayat yang diturunkan di Madinah kecuali satu ayat yang diturunkan di Mekkah.
Seterusnya, Al Habib membahaskan tafsir ayat 1 dan 2 daripada surah ini. Antara beberapa pengajaran penting yang perlu kita perhatikan ialah:
- Dengan kita dijadikan (dihidupkan) di dunia ini, itu merupakan satu nikmat yang perlu kita syukuri. Dengan nikmat dijadikan inilah, kita dapat merasakan nikmat-nikmat lain ketika di dunia.
- Allah SWT menceritakan beberapa kali tentang kejadian Nabi Adam a.s tetapi tidak diperincikan pula tentang kejadian Hawa. Oleh sebab itu, tak perlulah kita sibuk mencari asal-usulnya sehingga mempercayai teori-teori yang diasaskan oleh orang Barat.
- Setelah dijadikan Adam a.s, dijadikan pula pasangannya iaitu Siti Hawa. Ini menunjukkan yang sunnah pertama yang Allah lakukan kepada Nabi Adam setelah diciptakan ialah kahwin.
- Harta anak yatim tidak boleh dimanfaatkan untuk orang yang menjaga anak yatim. Harta itu boleh diniagakan tapi mestilah oleh orang yang amanah, dan jika dia miskin, dia dibenarkan mengambil upah yang sesuai mengikut ‘uruf. Harta mereka mesti dipulangkan setelah mereka baligh dan sudah pandai uruskan kewangan sendiri.
Seterusnya, pengajian disambung dengan bacaan hadis 2 hadis daripada bab ‘Keutamaan Orang Kaya Yang Bersyukur’, kitab Riyadhus Solihin.
Hadis-hadis ini mengingatkan kita supaya mengambil pengajaran berikut:
- Banyakkan bersyukur kepada Allah SWT, kerana Allah SWT berfirman bahawa sangat sedikit hamba-Nya yang bersyukur.
- Syukur merangkumi syukur dengan lisan dan dengan amalan, yakni dengan mentaati suruhan Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya.
- Jangan anggap pemberian (sedekah/hadiah) kita itu besar, tetapi tengok apa yang Allah akan ganti balik. Seumpama orang yang beri umpan pada ikan tak sayang umpannya kerana tahu ikan yang akan diperolehi itu lebih besar!
Ingin diingatkan bahawa catatan ini hanyalah secebis daripada lautan ilmu yang disampaikan oleh Al Habib. Oleh itu, untuk manfaat penuh, luangkan masa untuk menonton rakaman video dan dipersilakan berkongsi bersama yang lain. Rakaman video boleh didapati dari pautan seperti di bawah: